DEMONSTRASI: Hukumnya Dalam Islam

Abu Omar, Idris bin Sulaiman

demonstrasiApakah benar Demonstrasi termasuk dalam cara yang dibenarkan oleh Syarak untuk kita melakukan ‘perubahan’, ‘islah’, ‘reformasi’ dan ‘menukar’ ketetapan sesebuah kerajaan Islam yang sedia ada dengan yang lebih baik?

Apa yang pasti, demonstasi bukan daripada Islam. Sebaliknya ia dipelopori oleh orang Kafir Barat dan telah diserapkan ke negara-negara Islam sejak akhir-akhir ini.

Perkembangan ini tentu memerlukan kita untuk menilai sejauh mana Demonstrasi menepati Syarak sebelum ia dapat diterima dan diamalkan.

Pertama: Syariat Islam diturunkan untuk membolehkan manusia mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Ia telah disempurnakan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam dengan dijelaskan cara-cara untuk merealisasikan kejayaan ini.

Kejayaan manusia di Akhirat bergantung kepada sejauh mana benarnya cara yang digunakan di dunia sama ada ia bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah serta sejajar dengan amalan Salaf Al-Soleh atau tidak.

Syariat Islam menjelaskan bahawa bagi mengubah sesebuah masyarakat serta mengislahnya, ia menuntut supaya segala kemungkaran dan salah-laku yang ada pada diri perlu diubah terlebih dahulu. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

﴿ إِنَّ اللهَ لاَيُغَيِّرُ مَابِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُوا مَابِأَنفُسِهِمْ ﴾

“Sesungguhnya Allah tidak (akan) mengubah apa yang ada pada sesebuah kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Al-Ra’ad, 11).

Di dalam ayat di atas, Allah menyebutkan dua bentuk ‘mengubah’:

Pertama: (Nasib sesebuah kaum) manusia; dan

Kedua: Diri (mereka sendiri).

Inilah Ketetapan Allah dalam Alam ini (Sunnah Al-Kauniyyah) yang menepati Ketetapan Syarak Allah (Sunnah Al-Syariyyah) di mana bala dan musibah yang menimpa sesebuah kaum hanya akan diangkat oleh Allah apabila kaum itu mengubah diri mereka ke arah yang diredhai oleh Allah.

Perubahan yang dilakukan itu tentulah hendaklah dengan menggunakan cara yang diredai Allah. Hanya dengan cara yang betul kita akan memperoleh natijah yang betul yang menepati Syarak. Ini kerana ada kalanya perubahan tetap berlaku tetapi dengan tidak diredai oleh Syarak akibat cara yang digunakan menyalahi Syarak itu sendiri.

Adapun cara yang dituntut Syarak dalam mengubah kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pemerintah; ia adalah dengan cara nasihat, berdoa, serta membantu pemerintah dalam hal-hal kebaikan sebagaimana yang disebut dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

﴿ مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِذِي سُلْطَانٍ فَلَا يُبْدِهِ عَلَانِيَةً، وَلَكِنْ يَأْخُذُ بِيَدِهِ فَيَخْلُوا بِهِ، فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ، وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ ﴾

“Barangsiapa yang ingin menasihati pemerintah maka janganlah dia melakukannya secara terbuka, sebaliknya hendaklah dia mengambil tangannya (pemerintah itu) dan (menasihatnya secara) tertutup; sekiranya dia menerimanya maka itu yang diinginkan dan jika tidak, maka dia telah menunaikan tanggungjawabnya. (Riwayat Ibnu Abi Al-Asim dalam Kitab Al-Sunnahnya. Disahihkan oleh Sy. Albani)

Menasihati pemerintah dengan cara yang dibenarkan Syarak termasuklah dalam tuntutan  berpesan-pesan dalam kebenaran dan kesabaran serta tolong menolong dalam kebaikan dan ketakwaan.

Oleh itu, kaedah Syarak ini sama sekali tidak boleh diubah dengan cara yang menyalahinya serta bercanggah dengannya sebagaimana cara demonstrasi, perarakan, tunjuk perasaan, rapat umum dan menyatakan bantahan beramai-ramai terhadap pemerintah secara terang-terangan dalam perhimpunan umum bersama-sama dengan orang awam yang jahil.

Barangkali mereka yang menyalahi kaedah Syarak ini dalam menasihati pemerintah terdiri daripada mereka yang jahil, mereka yang tidak mampu menasihati pemerintah dengan cara yang betul atau merasa berat melakukannya, tidak bersetuju dengannya, atau mereka yang merasa bahawa kaedah demonstrasi lebih berkesan daripada kaedah nasihat yang tuntut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kita katakan nauzubillah!

﴿أَتَسْتَبْدِلُونَ الَّذِي هُوَ أَدْنَى بِالَّذِي هُوَ خَيْرٌ)

“Adakah kamu mahu menukar dengan yang kurang baik dan meninggalkan yang lebih baik?” (Al-Baqarah, 2: 61).

Adapun sekiranya ada yang mendakwa bahawa ‘Cara Demonstrasi’ termasuk dalam kaedah:

i.          ‘Al-Masaalih Al-Mursalah’ (المصالح المرسلة) iaitu ‘Menggunakan Satu Cara yang Asal Hukumnya Harus untuk Merealisasikan Satu Tuntutan Syarak’; atau kaedah:

ii.          ‘Al-Wasaa’il Laha Ahkaam Al-Maqaasid’ (الوسائل لها أحكام المقاصد) iaitu ‘Sesuatu Cara itu Bergatung Kepada Tujuannya’. Maka sekiranya tujuannya adalah suatu yang wajib maka wajiblah cara itu.

Kita katakan, kedua kaedah ini hanya boleh digunakan sekiranya ‘cara’ yang digunakan itu tidak dinyatakan hukumnya oleh Syarak sama ada secara nas atau secara isyarat; secara langsung atau tidak langsung.

Adapun sekiranya Syarak telah menjelaskan hukumnya atau situasi pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah menuntut supaya ‘cara’ itu digunakan tetapi ia tidak digunakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mahupun para Sahabatnya serta seluruh generasi Salaf Al-Soleh yang terdahulu, maka jelaslah bahawa ‘cara’ itu tidak diakui Syarak dan ia termasuklah dalam bid’ah dan ‘semua bid’ah itu adalah sesat’ sebagaimana dalam hadis.

Masakan ia bukan sesat sedangkan para Sahabat Nabi radhiyallahu ‘anhum adalah terdiri daripada mereka yang paling bertakwa dan yang paling ke hadapan dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Lihat bagaimana para Sahabat radhiyallahu ‘anhum telah berjaya mengubah diri mereka serta mengubah keadaan jahiliah mereka yang penuh dengan syirik, khurafat, bid’ah dan maksiat melalui kaedah-kaedah Syarak yang tersusun dan sistematik. Sama sekali bukan melalui kaedah yang diimport daripada orang kafir di dalam urusan mereka dengan pemerintah mereka.

Bagaimana pula kita boleh mengambil kaedah dan cara orang kafir, bukankah kita diperintahkan untuk menyelisihi mereka? Sebagaimana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

﴿ خَالِفُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى ﴾

“Selisihilah orang Yahudi dan Nasrani” (Sahih. Riwayat Abu Daud).

Kedua: Demonstrasi yang dilakukan dengan tujuan untuk mengubah ketetapan sesebuah negara Islam yang diperintah oleh pemerintah yang juga Islam bercanggah dengan hadis-hadis yang begitu banyak sehingga mencapai darjat mutawatir yang menuntut supaya taat serta bersabar terhadap pemerintah walaupun mereka zalim.

Antaranya sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:

﴿ يَكُونُ بَعْدِي أَئِمَّةٌ لا يَهْتَدُونَ بِهُدَايَ وَلا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِي جِثْمَانِ إِنْسٍ ﴾  قَالَ حُذَيْفَةَ : قُلْتُ : كَيْفَ أصْنَعُ يَا رَسُولُ اللهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ ؟ قَالَ ﴿ تَسْمَعْ وَتُطِيعَ الأمِيرِ وَإِنْ ضَرَبَ ظَهْرَكَ وَأَخَذَ مَالَكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ﴾

“Setelah pemergianku akan ada pemerintah yang tidak beramal dengan petunjukku mahupun dengan Sunnahku, dan akan ada di kalangan mereka lelaki yang hati mereka (seperti) hati syaitan dalam badan manusia.” Berkata Huzaifah (perawi hadis): Saya bertanya: Apa yang perlu aku lakukan sekiranya aku berdepan dengannya? Sabda Baginda: “Engkau dengar dan patuh terhadap pemerintah walaupun dia memukul belakangmu dan mengambil hartamu. Kamu dengar dan patuh.” (Riwayat Muslim)

Memandangkan begitu banyak hadis Nabi yang menekankan tentang prinsip ini,  Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah telah mengkategorikan prinsip taat dan bersabar terhadap pemerintah sebagai sebahagian daripada Akidah Islam.

Ketiga: Peristiwa pertama yang mirip kepada Demonstrasi dalam Sejarah Islam telah dilakukan oleh mereka yang berkumpul di sekeliling rumah Sayyidina Othman radhiyallahu ‘anhu yang mana kesudahannya telah berakhir dengan pembunuhan beliau dan timbulnya fitnah yang besar di kalangan Umat Islam sehingga mengakibatkan berlakunya peperangan Jamal (36H) dan Siffin (36H) yang mengorbankan ribuan Umat Islam.

Sejarah Islam telah menunjukkan bahawa:

  1. Kebanyakan perbalahan yang berlaku di kalangan Umat Islam berpunca daripada keinginan untuk mencegah kemungkaran tanpa menggunakan cara yang betul atau tanpa memahami hakikat kemungkaran itu sendiri di samping mengabaikan masalahat umum dan kerosakan yang lebih besar semata-mata kerana ingin melaksanakan apa yang diistilahkan pada hari ini sebagai ‘perubahan’ atau ‘reformasi’.
  2. Musuh Islam akan berjaya menawan sesebuah negara Islam apabila umatnya bercakaran sesama mereka.

Keempat: Seluruh Demonstrasi-Demonstrasi yang dilakukan di negara-negara Islam sejak dahulu sehingga sekarang telah mengundang keburukan-keburukan yang jauh lebih besar berbanding dengan pembaikan yang diharapkan. Antaranya ia menimbulkan kekecohan, perbalahan, caci-maki, ejek-mengejek, percampuran lelaki perempuan, diangkat slogan-slogan yang bercanggah dengan Islam dan orang-orang fasik bahkan orang kafir juga diangkat menjadi ketua mereka yang berdemonstrasi. Kesemua ini jelas dilarang Syarak.

Demonstrasi juga menjadi antara sebab utama yang boleh menyebabkan kerosakan harta-benda serta timbulnya ketakutan, kekacauan, ketidak tenteraman bahkan dalam banyak peristiwa sehingga berlakunya kematian dan berbunuh-bunuhan.

Situasi sebeginilah yang dinanti-nantikan oleh mereka yang berniat jahat untuk mengambil kesempatan. Malah ia antara sebab yang dinanti-nantikan oleh kuasa-kuasa besar kafir pada zaman sekarang untuk masuk-campur dalam urusan tadbir sesebuah negara Islam itu dengan alasan untuk membantu masyarakat Islam yang ditindas.

Apa yang pasti, Demonstrasi akan menyusahkan majoriti masyarakat awam di dalam menjalankan urusan harian mereka akibat kesesakan dan gangguan lalu-lintas yang berlaku.

Salah-satu daripada keburukan-keburukan ini sudah cukup untuk menjadikannya HARAM di sisi Agama. Bagaimana pula sekiranya ia sudah jelas mengundang pelbagai keburukan dan kerosakan? Jelas  keburukan hanya mengundang keburukan-keburukan yang lain dan sama sekali ia tidak akan mendatangkan kebaikan.

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم

Kajang, 24 Mac 2012

Idrissulaiman@yahoo.com

Advertisements