SOAL JAWAB: PUJIAN IKHWANUL MUSLIMIN TERHADAP IRAN

Dijawab oleh: Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman -hafizahumullah-

(Ditranskrip dari rakaman sesi soal jawab, Seminar 1 Akidah, 15.05.2011)

Soalan: Apa komen Ustaz tentang pujian Ikhwanul Muslimin terhadap Iran?

Jawapan:

Berkenaan pujian Ikhwanul Muslimin, ataupun lebih tepat lagi pujian tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin di antaranya adalah Hasan Al-Banna kepada Iran, sebenarnya hal ini tidaklah sangat menghairankan.

Ini kerana kalau kita kembali kepada gerakan Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood) di Mesir, dan kita melihat pengaruhnya telah tersebar di kebanyakan negara-negara Islam, asas pegangan Ikhwanul Muslimin adalah termaktub di dalam Syiar mereka, slogan mereka;

نَتَعَاوَنُ فيما اتَّفَقْنَا عليه وَيَعْذِرُ بَعْضُنَا بَعْضًا فيمَا اخْتَلَفْنَا فيه

“Kita saling tolong menolong di dalam apa yang kita sepakati, dan kita saling memaafkan sesama kita di dalam apa yang kita perselisihkan.”

Ini adalah fahaman yang dipegang oleh Ikhwanul Muslimin. Maka di dalam masalah Syiah, perbezaan yang ada di kalangan Ahlus Sunnah dan juga Syiah, apakah pendirian Ikhwanul Muslimin dalam berdepan dengan perselisihan ini?

Mereka mengatakan “kita saling memaafkan di dalam apa yang kita perselisihkan.”

Apa yang penting mereka melihat bahawa orang Syiah itu adalah orang Islam. Dan mereka bekerjasama dalam hal yang mereka sepakati, dan bermaaf-maafan dengan orang Syiah dalam hal yang diperselisihkan.

Ini yang kita kena faham tentang Ikhwanul Muslimin.

Oleh kerana itu kita melihat bahawa Ikhwanul Muslimin jugalah yang menjadi pelopor ke arah usaha التَّقَارُب بَيْنَ السنة والشيعة (merapatkan jurang antara Sunnah dan Syiah). Siapa pelopornya pada zaman sekarang adalah Ikhwanul Muslimin.

TIDAK MUNGKIN BERSATU: BEZA SYIAH SUNNAH PADA AKIDAH

Sedangkan antara orang Syiah dan juga Sunnah, adakah kita boleh merapatkan jurang antara kita dengan dia? Adakah boleh kita bersatu padu dengan orang Syiah?

Perbezaan antara Syiah dengan Sunnah bertitik tolak pada asas agama iaitu akidah. Malah dalam masalah-masalah pokok ada perselisihan antara Syiah dan Sunnah, belum lagi bercerita tentang masalah-masalah fekah, solat dan sebagainya.

Antara masalah pokok yang menjadi perselisihan adalah orang-orang Syiah mengkafirkan para Sahabat Nabi. Sandaran agama kita adalah kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, seterusnya yang menyampaikan agama sehingga sampai kepada kita adalah para Sahabat.

Maka apabila Syiah mengkafirkan para Sahabat, orang-orang Syiah sebenarnya telah merobohkan agama Islam yang menjadi anutan kita. Apabila para Sahabat dikafirkan, kesudahannya adalah hadis-hadis secara automatiknya tertolak. Misalnya Abu Hurairah menjadi kafir, maka kesemua hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah apatah lagi sahabat-sahabat yang lain yang juga dikafirkan, kesudahannya hadis-hadis kesemuanya perlu ditolak, kerana perawinya kafir.

Kerana itu di dalam Syiah, mereka sangat mementingkan para Imam mereka. Kerana apabila hadis tidak ada, para Imam mereka inilah menjadi pengganti dan asas agama mereka. Kerana itu di antara muslihat mereka, mereka mengatakan para Imam mereka adalah maksum. Tujuannya adalah supaya kata-kata Imam mereka menjadi sandaran agama.

Jadi jangan kita hairan tentang Ikhwanul Muslimin. Malah bagi saya, di samping kita mengenal tentang bahayanya golongan Syiah, tidak kurang pentingnya untuk kita kenal lebih dalam lagi tentang bahaya Ikhwanul Muslimin.

Kerana kita lihat pada zaman sekarang, khususnya dalam senario politik (siasah), apatah lagi manhaj yang menekankan tentang menegakkan Daulah Islam dan sebagainya, kebanyakannya semua bersandarkan kepada fahaman Ikhwanul Muslimin.

Fahaman Ikhwanul Muslimin kalau kita lihat rojak. Malah Ikhwanul Muslimin itu sendiri merangkumkan (menerima) semua kumpulan-kumpulan yang ada. Semua ada dalam Ikhwanul Muslimin.

Maka kita tidak hairan ada orang-orang Syiah, ada orang-orang Sufi, orang-orang tarikat, tabligh, khawarij, semua ada di dalam Ikhwanul Muslimin. Ini kerana asas pegangan mereka, “Kita bersama-sama dalam apa yang kita sepakati, dan kita saling memaafkan di dalam apa yang kita perselisihkan.”

Kerana itu saya melihat ada kewajarannya agar di masa akan datang kita menganjurkan seminar yang menyentuh tentang Ikhwanul Muslimin, kerana hakikatnya kebanyakan porak peranda yang berlaku di negara-negara Islam pada zaman sekarang, gerakan parti-parti Islam, siasah menegakkan negara Islam dan sebagainya banyak kembali kepada fahaman Ikhwanul Muslimin.

(Ditranskrip dari rakaman sesi soal jawab, Seminar 1 Akidah, 15.05.2011)

harakah

Gambar hiasan: Akhbar yang banyak mengangkat dan memuji Syiah & Iran – Admin