SOAL JAWAB: MENANAM RUMPUT DAN MENYIRAM AIR MAWAR

Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab kuliah Umdatul Ahkam, hadis ke-17, 05.03.2013)

Sambungan tulisan sebelum ini: MENANAM PELEPAH KURMA ATAU POKOK DI ATAS KUBUR

150472_546591178711626_133075347_nSOALAN 1: MENANAM RUMPUT DI ATAS KUBUR UNTUK MENGELAKKAN HAIWAN LIAR DATANG

Adapun meletakkan rumput-rumput untuk mengelakkan haiwan-haiwan datang ke kawasan perkuburan, apakah ini satu-satunya cara untuk menghalang haiwan-haiwan liar ini daripada datang ke kawasan perkuburan? Banyak lagi cara yang dibolehkan dalam syarak daripada melakukan perbuatan seperti ini.

Ini kerana kalau benar sekalipun alasannya adalah bukan kerana hendak meringankan azab kubur, tetapi kita takut akhirnya ia akan menghala ke situ. Kalau benar sekalipun tujuannya adalah lain iaitu tujuan dunia seperti untuk mengelakkan haiwan datang, kita khuatiri tujuan dan niat serta kefahaman itu akan berubah. Jadi perlu ada Saddu Al-Dzari’ah (menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada penyimpangan di dalam Syarak).

Perlu dicari ikhtiar yang lain, antaranya seperti mengadakan kawasan berpagar supaya orang tahu bahawa itu adalah kawasan perkuburan.

SOALAN 2: MENYIRAM AIR MAWAR

Adapun tentang menyiram kubur itu, kita kena lihat apakah tujuannya. Apakah tujuan menyiram air mawar? Hakikatnya ini semua ada tujuan dan akidahnya yang mana ia membabitkan urusan agama.

Apa juga kefahaman perlu selari dengan Syarak. Maka apakah Syarak membolehkan kita menyiram air-air seperti ini dengan tujuan dan kepercayaan tertentu? Kepercayaan menyiram air mawar ini tidak akan lari daripada supaya hendak memberkati penghuni kubur, atau semoga Allah merahmati penghuni kubur itu. Maka kita katakan apakah Syarak telah mengajar kita supaya kita mendapatkan kerahmatan dan keberkatan Allah kepada si mati itu dengan cara ini?

Hakikatnya Syarak tidak mengajar kita dengan cara sebegitu, sebaliknya satu-satunya yang diajar oleh Syarak adalah dengan kita berdoa kepada si mati, berdoa semoga Allah memudahkan urusannya di dalam kubur. Ini yang diajar, maka kita melihat berapa ramai orang yang berdoa kepada kaum keluarganya yang telah mati.

Tidaklah ada suatu yang baru yang diada-adakan dalam agama melainkan ia akan mematikan sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini memang adatnya. Maka akhirnya kalau orang itu fokus pada sesuatu yang menyalahi Syarak, akhirnya dia akan tertinggal atau terlupa kepada apa yang diajar oleh Syarak.

Maka perlu kepada muhasabah di dalam kita hendak berbuat baik kepada si mati, hendaklah dengan cara yang Syar’i iaitu dengan memperbanyakkan doa kepadanya dan daripada anak kepada kedua orang tua itu secara khasnya. Bukan dengan cara-cara yang tidak diajar oleh Syarak sama ada dengan menanam pokok-pokok, tanaman-tanaman di atas kubur si mati ataupun dengan cara membaca Al-Quran, berzikir dan tahlilan di perkuburan kerana cara-cara seperti ini sama sekali tidak ada sandaran dan contoh daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mahupun para sahabat Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam.

(Disalin dari rakaman sesi soal jawab kuliah Umdatul Ahkam, hadis ke-17, 05.03.2013)

Tulisan berkaitan sebelum ini: MENANAM PELEPAH KURMA ATAU POKOK DI ATAS KUBUR