SOAL JAWAB: MANHAJ MUTAQADDIMIN DALAM PENILAIAN HADIS?

Manuskrip-Kitab-al-Muwaththa-susunan-Imam-MalikSOALAN:

Mohon penjelasan tentang manhaj sekumpulan ustaz dan sahabat salafi yang menyeru supaya kembali kepada penilaian hadis oleh Ulama Mutaqaddimin, dalam ertikata perlu menolak penilaian hadis oleh Ulama yang datang kemudian seperti Imam Albani dan lain-lain. Mereka mengatakan jika dalam hal lain perlu kembali kepada Salaf, mengapa tidak dalam bidang hadis (menilai kedudukan hadis)?

JAWAPAN:

Kenyataan ini jelas bukan daripada mereka yang faham Salaf dengan benar. Hakikatnya kenyataan mereka lebih bertujuan supaya kita jumud dan bertaklid buta kepada ulama-ulama tertentu seperti mana halnya mereka bertaklid buta dalam ulama mazhab fikah.

Ilmu Hadis seperti Ilmu Fekah, tidak boleh jumud dan tidak boleh sekadar bertaklid. Seperti mana dalam fekah kita perlu kembali kepada dalil dan hujjah begitu juga dalam hadis. Cuma dalam Fekah dalilnya lebih menjurus kepada dalil daripada Al-Quran dan Sunnah serta amalan Salaf. Adapun Hadis, ia lebih menjurus kepada penjelasan-penjelasan Ulama hadis sepanjang zaman daripada zaman awal Islam sehinggalah ke hari ini tentang perawi-perawi dan hadis-hadis Nabi.

Akhirnya, kita bertanya kepada mereka, siapakah Ulama Mutaqaddimin di sisi mereka? Tidak ada jawapan yang jelas dalam hal ini. Ada suara mengatakan Imam Al-Daraqutni (wafat 385H).

Kita bertanya lagi, bagaimana pula Ulama hadis yang datang sesudah mereka? Adakah ilmu hadis mereka tiada nilainya sama sekali? Bagaimana pula dengan Imam Ibnu Taimiyyah (wafat 728H), Imam Al-Zahabi (748H) dan Imam Ibnu Hajar (Wafat 852H) yang diberi gelaran Amirul Mukminin dalam Ilmu Hadis?? Bagaimana pula dengan puluhan kalau bukan ratusan ulama hadis yang lain yang sebelum dan selepas mereka sehinggalah datangnya Imam Albani rahimahullah? Adakah ilmu mereka tidak boleh dimanfaatkan sama sekali dalam bidang hadis?

Akhirnya, hakikatnya mereka yang berkata sebegini tidak memahami Ilmu Hadis itu sendiri. Mereka tidak memahami disiplin dan kaedah yang digunakan untuk menghukum sesuatu hadis itu sahih atau tidak, dan perawinya dipercayai atau tidak. Akibat kejahilan mereka dalam ilmu ini, mereka bersikap taksub dan jumud menolak kenyataan dan penjelasan yang dibawa oleh ulama-ulama yang mereka istilahkan sebagai ‘Muta’akhirin’ ini.

Walaupun secara peribadinya, ana melihat bahawa ia semua akibat daripada penolakan mereka terhadap Dakwah Salaf secara amnya dan Imam Albani secara khasnya. Tetapi akibat ketidak mampuan mereka untuk menolak hujjah Imam Albani secara ilmiah mereka akhirnya memilih jalan pintas dan mudah dengan membawa kaedah ‘Memilih Manhaj Mutaqaddimin daripada Manhaj Muta’akhiriin’.

Wallahu a’lam.

Harap jawapannya jelas.

Barakallahu fikum.

Dijawab oleh: Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman, Kajang, 05.07.2013