Tidak perlu samak jika tersentuh atau termakan babi
Abu Omar, Idris bin Sulaiman
Permasalahan: Baru-baru ini telah muncul pendapat yang mengatakan bahawa sesiapa yang termakan daging babi perlu menyamak mulut dengan berkumur-kumur dengan air tanah. Bagaimana penjelasan syara’ di dalam hal ini.
Jawapan:
Daripada apa yang telah kita bincangkan sebelum ini, dapat kita simpulkan bahawa pendapat ini adalah salah. Ini kerana;
Pertama, untuk kita qiyaskan daging babi dengan air liur anjing, kita perlu mengetahui illah; kenapa syara’ mengkategorikan air liur anjing sebagai najis mughallazhah dan hal ini tidak diketahui. Jadi bagaimana kita boleh menqiyaskan air liur anjing dengan daging babi tanpa kita mengetahui illahnya, sedangkan kesamaan illah menjadi syarat utama di antara syarat-syarat qiyas. Maka qiyasnya tidak ada.
Kedua, pengharaman daging babi telah pun disebutkan di dalam Al-Quran dan juga hadis Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam. Di dalam keduanya; Al-Quran mahupun As-Sunnah tidak menyebutkan perlunya menyamak mana-mana bekas yang terkena dengan daging babi secara khasnya. Sebaliknya syara’ hanya menyebutkan tentang bekas yang dijilat oleh anjing, ataupun disebutkan di dalam hadis bekas yang terkena dengan air liur anjing sahaja (yang perlu disamak).
Maka untuk itu, hanya air liur anjing sahaja yang dikategorikan sebagai najis mughallazhah yang perlu disamak.
Ketiga, apabila kita hendak membincangkan tentang asal permasalahan najis mughalladzah iaitu air liur anjing, di antara permasalahan yang berkaitan tentang air liur anjing ini adalah permasalahan tentang haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan. Kita semua maklum bahawa syara’ membolehkan anjing untuk buruan atau untuk penternakan. Maka di dalam buruan, syara’ membolehkan kita menggunakan anjing untuk menangkap haiwan buruan.
Dalam masalah haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan, timbul persoalan; apakah perlu menyamak haiwan tangkapan itu yang jelas telah digigit oleh anjing dan telah terkena air liur, sedangkan kita tahu bahawa asal hukum air liur anjing itu adalah najis mughalladzah. Apakah perlu disamak?
Dalam masalah ini secara khasnya, syara’ bersikap memudahkan (memberi kelonggaran). Maka seperti mana yang disebutkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, syara’ tidak mewajibkan ke atas kita untuk menyamak haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan. Maka kalau kita lihat di dalam ayat Al-Quran, Allah Subhaanahu wa Ta’ala mengatakan,
فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ
“Maka makanlah dari apa yang telah ditangkapnya untuk kamu (oleh anjing buruan), dan sebutlah Nama Allah di atasnya.” (Surah Al-Maa-idah, 5: 4)
Dan juga dari hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda,
إذا أرسلت كلبك المعلم وذكرت اسم الله ، فكل ما أمسك عليك
“Sekiranya kamu telah utuskan anjing kamu yang telah diajar dan kamu telah menyebutkan nama Allah, maka makanlah apa yang telah ditangkap untukmu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kalau kita melihat kedua-dua nash dari Al-Quran dan juga hadis tentang anjing buruan, syara’ sekadar menyebutkan tentang perlunya kita membaca bismillah apabila kita menghantar (melepaskan) sahaja anjing untuk menangkap haiwan. Cukup sekadar itu.
Maka syara’ tidak mewajibkan untuk kita menyamak haiwan yang telah ditangkap oleh anjing buruan. Ini kerana, syara’ di dalam mengizinkan kita menggunakan anjing untuk tujuan berburu adalah bertujuan untuk memudahkan; iaitu memudahkan kita menangkap haiwan yang sukar ditangkap kerana anjing itu cekap dan pantas.
Maka tidak hairanlah mengapa syara’ tidak mewajibkan kita menyamak. Kerana jika kita hendak menyamak haiwan tangkapan, itu jelas bercanggah dengan tujuan utama untuk memudahkan kerana akhirnya kita menjadi susah kerana perlu menyamak haiwan yang ditangkap tersebut.
Bahkan tidak ada riwayat daripada amalan-amalan sahabat; yang mana mereka menggunakan anjing buruan, namun tidak ada satu pun riwayat yang menunjukkan mereka menyamak haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan.
Kembali kepada pendapat yang mengatakan perlunya samak mulut dengan berkumur-kumur dengan air tanah, ini jelas pendapat yang tidak ada dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah. Bahkan dalil dari Al-Quran dan Sunnah seperti yang telah disebutkan bercanggah dengan pendapat ini.
Jelas bahawa pendapat ini tidak lebih daripada pendapat akal semata-mata bahkan ia lebih bersikap menyusah-nyusahkan dan berlebih-lebihan. Sedangkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda,
هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُوْنَ. هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُوْنَ. هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُوْنَ
“Telah binasalah orang-orang yang bersikap melampau. Telah binasalah orang-orang yang bersikap melampau. Telah binasalah orang yang bersikap melampau.” (Riwayat Muslim)
Juga di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, di mana sabda Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam,
إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ
“Sesungguhnya agama itu mudah, dan tidaklah seseorang menyusah-nyusahkan agama melainkan dia akan tertewas.” (Riwayat Al-Bukhari)
Maka dari itu, sebuah atsar yang disebutkan oleh Saidina Umar Al-Khatthab radhiyallaahu’anhu, beliau mengatakan,
نُهِيْنَا عَن التكلّف
“Kami dilarang daripada bersikap berlebih-lebihan (menyusah-nyusahkan).” (Riwayat Bukhari)
Maka pendapat yang mengatakan wajibnya berkumur-kumur dengan air tanah, bukan sahaja bekas-bekas yang terkena daging babi, atau apa juga yang terkena dengannya perlu disamak; ini juga tiada dalil, ini hanyalah ijtihad semata. Bukan itu sahaja bahkan dikatakan mulut juga perlu disamak iaitu dibasuh sebanyak tujuh kali, yang pertama dengan air tanah. Ini jelas pendapat yang berlebih-lebihan dan bercanggah dengan prinsip syara’ yang memudahkan.
Wallaahu a’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=8_cwJEuIxz4
Assalamualaikum, saye ingin menambah sedikit ilmu dalam bab ini , apakah hukumnya sekiranya kenderaan kita terkena dengan geseran dari haiwan (anjing)?
Waalaikumussalam warahmatullah, harus dibersihkan apa-apa kotoran yang melekat pada kenderaan (bukan wajib), dan tidak perlu disamak kenderaan itu. Memadai dihilangkan kotoran atau membasuh dengan air sahaja.
Najis wajib disucikan dari pakaian/kasut jika pakaian itu hendak digunakan untuk solat atau ibadah yang mensyaratkan ‘suci dari najis’.
Najis wajib disucikan dari bekas makanan jika bekas itu ingin digunakan untuk makan.
Adapun najis pada kenderaan, tidak ada kewajipan untuk menyucikannya. Hukum membersihkannya adalah harus. Wallahu a’lam.
Apakah dalil yang boleh dikaitkan dengan samak terkena anjing ?
Maksudnya jika termakan Babi perlu disamak me tidak??
pada suatu hari secara tiba-tiba saya teringat bahawa dalam 6 bulan yang lalu, saya ada terkena air dan makanan haiwan yang tertumpah daripada bekasnya dan air serta makana tersebut terkena pada seluar dan sepatu sukan saya ketika acara merentas wilayah. Dan disebabkan tempat makanan tersebt diletakkan di koridor sebuah bengkel dan saya ragu-ragu, ingat dan tak ingat bengkel tersebut ada memelihara seekor anjing dan juga terdapat sebuah restoran di sebelahnya. Bekas makanan dan air minuman haiwan yang tertumpah itu terletak di antara kedua-duanya( saya juga tidak pasti sama ada betul atau tidak terdapat restoran di sebelahnya, rasanya seprti tidak ada jika difikirkan lagi. Kemungkinan besar tidak ada kerana saya kurang pasti sama ada berdekatan itu adalah motosikal atau kerusi makan. Berkemungkinan besar motosikal). saya cuma meyakinkan diri bahawa bekas bekas tersebut diletakkan untuk memberi makan dan minum kpd kucing, namun baru- baru ini perkara ini terlintas semula di fikiran saya. Kemudian, saya ada melalui tempat yang berbecak dgn kasut dan seluar yang terkena air minuman haiwan tersebut sekaligus telah membasahkan kaki saya dan saya juga risau apakah air becak tersebut juga telah dimasuki oleh orang lain yang telah memijak air daripada bekas minuman haiwan tersebut kerana sememangnya itu sahajalah laluan unuk sampai ke garisan penamat. Setelah itu,bahagian seluar dan kasut saya yang masih basah itu telah terkena beg dan bahagian lain pada pakaian saya. Apakah hukumnya? Perlukah saya menyamak kesemuanya atau ini sekadar perasaan waswas sahaja kerana saya memang dalam proses merawat waswas ini? Bantulah saya ustaz. Fikiran saya sudah amat bercelaru memikirkannya.
2)pada suatu hari abang saya ada membawa balik makanan daripada sebuah bakeri dan sudah berbulan selepas itu, kami sekeluarga ada berbicara tentang daging khinzir dsb dan ketika itu saya ada diberitahu bahawa abang saya itu ada termakan roti mengandungi daging khinzir daripada sebuah bakeri berhampiran sekolah rakannya. Persoalannya sekarang, ketika itu, roti yang dibeli adalah selepas dia mengambil rakannya dari sekolah dan bagaimana rasanya agak similar dengan apa yang diberitahu dan pada ketika itu sebelum makan roti tersebut, sy ada semacam gerak hati yang mengatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan daging tersebut namun saya cuba menafikankerana hanya menganggap itu sebagai perasaan waswas sahaja lalu memakannya. Dan saya selarang tidak berani bertanya tentang dimana pembelian roti tersebut. Bungkusan roti tersebut pada katika itu amat berminyak dan selepas memegangnya seingat saya, saya ada memegang telefon, tikat, televisien, penutup sampah dan sebagainya. Jadi apakah hukumnya? Perlukah disamak atau ini hanyalah perasaan waswas sahaja?
kena samak ke jika tersentuh anjing secara tidak sengaja??
Assalamualaikum.
Perlu ke saya samak kaki say, sebab saya baru tahu saya telah memakai kasut yg mempunyai alas kulit babi??